The Super Dad..Dato' Nadzmi Salleh










Sebaik melangkah masuk ke rumah Pengerusi Proton Holdings Bhd. Datuk Nadzmi Mohd. Salleh penulis memang kagum dengan keunikan hiasan dalaman dan susun atur perabut yang tersusun rapi di banglo dua setengah tingkat miliknya di Subang. Hati kecil penulis berdetik, sangat bertuah beliau mempunyai seorang isteri yang pandai menghias rumah. Kemudian kedatangan penulis dan jurugambar disambut mesra oleh anak sulung beliau Mohd Hariz bersama dua adiknya dan sangat jelas mereka semua memiliki iras bapa mereka yang berkulit cerah.

Tidak lama kemudian lima dari enam anaknya berkumpul di ruang khas untuk tetamu dan bersalaman dengan penulis. Selesai bersalaman mereka kembali bermain, bergurau dan bergelak ketawa di ruang yang sama tanpa segan silu dan bagi penulis semua kemesraan ini diluahkan secara ikhlas dan jujur walaupun berbeza jarak usia.

Agak melekakan melihat keletah dan kemesraan yang ditunjukkan mereka sehinggakan penulis sendiri tidak menyedari kemunculan Nadzmi. Sebaik menyapa dan bersalaman dengan penulis telefon bimbit beliau berbunyi dan meminta maaf kerana terpaksa menjawabnya atas urusan kerja.

Ironinya, jika diteliti kehidupannya yang senantiasa sibuk sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah berpuluh-puluh syarikat selain menjadi Presiden Persekutuan Badminton Malaysia (BAM) sememangnya masa bagi beliau dilihat sangat berharga. Maka tidak menghairankan walaupun ketika pertemuan ini berlangsung ia merupakan hari cuti umum namun urusan dan bebanan kerja akan turut mengekori beliau ke mana saja beliau berada.

Sebaik sahaja selesai menjawab telefon, Nadzmi yang kelihatan segak berpakaian kemeja dan seluar jeans hitam kembali menyapa penulis. Sepanjang perbualan, beliau dengan jujur menyerlahkan sifatnya yang ramah dan mesra serta sentiasa merendah diri walaupun beliau sendiri adalah seorang tokoh korporat yang disegani.

Namun entah bagaimana tiba-tiba topik perbualan kami bertukar kepada topik wanita bagaimana yang boleh dijadikan sebagai calon isteri. Penulis yang agak terperanjat kemudian dijelaskan bahawa beliau kini telah menjadi bapa tunggal sejak lebih setahun yang lalu.

Dengan penjelasan beliau itu, naluri kewartawanan penulis membuak-buak untuk mengorek lebih lanjut tentang perkara itu. Namun beliau lebih senang tidak mahu membesar-besarkan perkara itu dan sejak kedua mereka berpisah memang ramai yang tidak mengetahui tentangnya.

Namun beliau menjelaskan apa yang berlaku adalah kerana mereka berdua sudah tidak ada persefahaman lagi dan perpisahan mereka telah diselesaikan dengan baik.

"Kadang-kadang saya pelik kenapa ada pasangan yang berpisah seolah-olah terpaksa berperang sedangkan apa yang berlaku membabitkan dua orang dewasa.


Bersyukur

"Bagi saya apa yang hak perlu diberikan dan penyelesaian terbaik perlu dicari kerana apa yang berlaku pasti akan memberi kesan kepada anak-anak jika tidak diuruskan dengan baik," katanya.

Memang ada kebenaran di sebalik kata-katanya tadi namun bagi Nadzmi apa yang penting kesemua anak-anaknya memilih untuk tinggal bersama beliau. Beliau sangat bersyukur dengan pilihan anaknya itu kerana tidak pernah memaksa anak-anaknya untuk tinggal bersamanya.

Beliau juga tidak pernah menghalang anak-anaknya untuk berjumpa atau keluar dengan ibu mereka pada bila-bila masa.

"Rumah saya senantiasa terbuka untuk bekas isteri saya datang menjenguk mahupun melakukan apa saja aktiviti dengan anak-anak. Walaupun kami telah berpisah, tidak bermakna hubungan dan keakraban kami sebagai bapa dan ibu kepada anak-anak kami terputus," kata Nadzmi.

Bukan untuk mengangkat dirinya namun beliau berbangga kesemua anaknya memanggilnya dengan gelaran super dad dan semua ini mungkin kerana keakraban dan nilai didikan yang diberikan selama ini.

Katanya setiap pagi beliau akan mengejut anak-anaknya untuk bersolat Subuh berjemaah sebelum memberikan tazkirah untuk dikongsi bersama.

Ujar Nadzmi lagi satu perkara yang mungkin membuatkan anak-anaknya itu terus "melekat" dengannya adalah tentang keupayaan dan kehandalan beliau di dapur. Mungkin benar kerana rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan dan kemudian dimasak menggunakan air tangan sendiri untuk dihidangkan kepada anak-anak mampu memberikan keberkatan yang berganda.

Mungkin pelik apatah lagi dengan kerjanya yang sibuk mana mungkin beliau mempunyai masa untuk memasak. Tapi hakikatnya memasak adalah hobi dan perkara yang paling diminati sejak dahulu. Beliau telah didedahkan dengan keupayaan dan resipi-resipi masakan Melayu sejak dari kecil memandangkan arwah ibu dan ibu tirinya memang handal memasak.

Malah ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Ohio Amerika Syarikat (AS), beliau senantiasa mencuba pelbagai resipi tempatan maklumlah ketika zaman belajar bukan ada duit sangat. Kerinduan terhadap masakan Melayu juga sering membuatkan beliau mengasah bakatnya itu ketika berada di sana. Memandangkan Nadzmi juga merupakan Presiden Persatuan Pelajar Muslim Universiti Ohio, sering saja beliau menghidangkan makanan tempatan kepada ahli-ahli persatuannya.

Lebih istimewa lagi kemahiran memasak beliau bukan sahaja memasak masakan Melayu terutama masakan Kelantan namun beliau juga berupaya memasak masakan Jepun, Cina dan juga makanan Barat.

Kesempatan melihat sendiri keupayaan beliau memasak sambil dibantu anak-anaknya memang menghiburkan. Apatah lagi beliau mempunyai dapur khas untuk memasak dan kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk merapatkan hubungan dengan anak-anak.


Keakraban

Memang benar keakraban beliau bukan dibuat-buat malah hubungan mesra anak-beranak ini bukan berlaku ketika berada di meja makan malah sebelum masakan tersebut disediakan lagi.

"Saya memang seorang yang sangat sibuk dan waktu terbaik bagi saya untuk mengadakan hubungan yang berkualiti dengan anak-anak adalah ketika memasak bersama dan kemudian menikmati hidangan yang disediakan secara bersama.

"Saya bukanlah seorang bapa yang terlalu mengikut kehendak anak-anak dan bila perlu saya akan bertegas dengan mereka. Namun mereka faham dengan cara didikan dan saya berasa sangat bertuah dan bersyukur kami sekeluarga sangat rapat dan saling mengambil berat antara satu sama lain," kata Nadzmi.

Selain memasak beliau juga mempunyai beberapa hobi lain antaranya menunggang motosikal berkuasa tinggi, kereta kawalan jauh dan beberapa lagi. Namun sejak diserang penyakit angin ahmar beberapa bulan lalu, beliau yang kini dilihat semakin pulih sepenuhnya lebih menumpukan kepada hobi bercucuk tanam.

Kawasan lapang di tepi rumahnya kini dipenuhi pelbagai tumbuhan-tumbuhan seperti kacang panjang, petola, pokok cili dan pelbagai lagi.

"Pokok-pokok ini saya usahakan sendiri pada masa lapang dan jika anak-anak saya tidak mempunyai urusan lain mereka juga akan turut bersama bercucuk tanam.

"Mungkin pokok yang ditanam tidak sebanyak mana tetapi saya berasa puas melihat apa yang saya usahakan berjaya selain ia turut membantu mengeluarkan peluh yang baik untuk kesihatan," kata lelaki berusia 56 tahun itu.

Tempoh pertemuan yang berlangsung lebih dua jam ini sememangnya banyak mendedahkan sisi sebenar kehidupan Nadzmi di sebalik kewibawaannya sebagai tokoh korporat yang dihormati. Namun mungkin tidak lengkap kehidupannya yang serba berjaya jika masih belum mempunyai isteri.

Beliau yang ketawa besar ketika diaju soalan berkenaan hanya menjawab memang ramai yang cuba menghimpitnya.

"Itu memang saya tidak nafikan. Hidup mungkin agak sunyi tanpa seorang isteri di sisi. Apatah lagi dengan kedudukan saya ramai yang cuba untuk menghimpit termasuklah mereka yang bergelar artis dan pelakon popular.

"Malah anak-anak juga tidak menghalang malah mereka pula menggalakkan saya mencari isteri yang berusia lebih muda,".

Namun bagi beliau apa yang penting calon isterinya nanti mestilah saling tertarik antara satu sama lain.

"Kami perlulah saling tertarik secara fizikal antara satu sama lain kerana dari situlah keikhlasan sebenar akan terluah namun itu semua soal jodoh dan saya akan berserah kepada-Nya jika sudah sampai serunya nanti," kata Nadzmi ketika mengiringi penulis ke luar rumah sebelum menyambut seorang lagi kenalan juga atas urusan kerja.