Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir

Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dilahirkan pada 14 Januari 1948.Tuanku Muhriz adalah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11. Baginda merupakan satu-satunya putera daripada enam orang adik beradik kepada pasangan Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar ke-9 dan pasangan baginda, Tunku Ampuan Durah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah. Kemudian di Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin, Tampin dan Sekolah Menengah King George V di Seremban dan meneruskan pelajaran baginda di Aldenhem School,United Kingdom.Baginda memperolehi Ijazah Undang-undang dari Kolej Universiti Wales, Aberystwyth, Britain.

Dilantik sebagai Tunku Besar pada 1960, Tunku Muhriz dipilih oleh Majlis Undang berikutan kemangkatan ayahanda baginda. Perlembagaan Negeri Sembilan menyatakan bahawa penggantian takhta adalah mengikut anakanda lelaki, cucunda lelaki, adinda lelaki dan anak kepada adinda lelaki kepada pemerintah itu. Tunku Muhriz merupakan waris pertama selepas kemangkatan Tuanku Munawir, lalu diikuti oleh Tunku Ja'afar dan. Walau bagaimanapun, baginda tidak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika itu tetapi ayahanda saudaranya,Tunku Jaafar yang ketika itu seorang diplomat, telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Besar yang ke-10. Pemilihan ini secara tidak langsung dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri ketika itu,Tunku Abdul Rahman yang meminta supaya Tuanku Muhriz tidak dipilih kerana masih terlalu muda iaitu ketika itu berusia lapan belas tahun.

Tuanku Muhriz akhirnya dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 29 Disember 2008 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti,Kuala Pilah,Negeri Sembilan. Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak mengikut Adat Perpatih.